Adakah Anda Masih Ingin Merokok?


Seperti 80% perokok yang lain, anda mungkin telah mencuba beberapa kali untuk berhenti merokok tetapi tidak berjaya. Apakah ianya terlalu lewat untuk anda berhenti? Jawapannya sudah tentu tidak.

Jika anda berhenti merokok pada umur 60 atau 80 sekalipun, masih banyak kesan buruk akibat merokok yang dapat dihentikan. Atau mungkin anda tergolong dalam 46% perokok dewasa yang tidak percaya merokok boleh membahayakan kesihatan atau pun tiada faedahnya jika anda berhenti sekarang, sudah terlewat. Jika anda tergolong dalam kumpulan ini, renungi fakta berikut:
  • Dalam masa lapan jam selepas berhenti merokok, kadar denyutan nadi dan tekanan darah turun dan paras oksigen dalam badan anda akan naik.
  • Dalam tempoh 24 jam selepas berhenti, risiko serangan jantung menurun.
  • Selepas sebulan, peredaran darah bertambah baik, tenaga anda bertam- bah dan fungsi paru-apru anda meningkat sebanyak 30%.
  • Selepas setahun, risiko anda mendapat penyakit jantung menurun sebanyak 50% jika dibanding dengan mereka yang terus merokok.
  • Selepas 5 tahun, risiko anda mendapat strok mula menurun.
  • Selepas 10 tahun, kemungkinan anda mendapat kanser paru-paru adalah sama dengan mereka yang tidak pernah merokok.
Setiap kali anda menyedut, anda menyerap masuk lebih dari 4,700 bahan kimia yang telah terbukti memberi kesan buruk pada setiap inci tubuh anda. Antara kesan tidak serius ialah kulit lebih cepat berkedut, gigi dan jari menjadi kuning dan lambat baik dari luka.

Antara kesan yang sangat merbahaya ialah osteoporosis, retak pinggul, katarak, kencing manis, kehilangan gigi dan emfisema.

Di Amerika, setiap tahun sejumlah 400,000 orang meninggal dunia atas sebab yang ada kena mengena dengan merokok. 50% dari kematian tersebut disebabkan penyakit kardiovaskular dan 30% lagi oleh kanser paru-paru. Merokok membahayakan jantung anda, jika anda berhenti merokok, risiko mendapat serangan jantung menurun sebanyak 50% dalam masa setahun. Merokok juga berada di tangga teratas dalam senarai penyebab kanser.

Merokok adalah ketagihan, mudah dan jelas. Jangan salahkan diri anda jika anda telah beberapa kali cuba untuk berhenti tetapi gagal. Kandungan utama tembakau ialah nikotin dan ia merupakan dadah yang paling kuat menyebabkan ketagihan.

Adakah tiada harapan lagi? Tidak. Ramai yang telah berjaya berhenti dan anda pun boleh, jika anda mahu.

Jika anda mahu berhenti, disenaraikan beberapa cara untuk membantu anda.

Tetapkan tarikh dan patuhinya. Para pakar melaporkan bahawa mereka yang menetapkan tarikh mempunyai kemungkinan yang tinggi untuk berjaya.

Elakkan dari mendapat tekanan. Banyak petua yang boleh diamalkan untuk mengurangkan tekanan.

Berhenti terus. Kalau anda ikut cara ini, anda mungkin akan mengalami sindrom tarikan untuk selama seminggu hingga 10 hari tetapi anda akan melepasi halangan.

Buang kesemuanya. Pada hari yang ditetapkan, buang semua rokok, termasuk yang tersembunyi di mana-mana. Buang pemetik api, mancis dan tempat habuk rokok.

Bersedia untuk melawan keinginan untuk merokok. Semasa anda melalui sindrom tarikan, anda mungkin mengalami gejala berikut: masalah perut, sukar memberi tumpuan, mengantuk, susah untuk tidur dan mudah marah.

Anda boleh berhenti secara beransur-ansur. Sebaik saja nikotin telah dinyah keluar dari tubuh anda, gejala sindrom tarikan akan hilang sedikit demi sedikit. Ada kemungkinan ianya tidak hilang kesemuanya kerana satu tidak pernah cukup. Jika anda merokok sebatang anda ingin sedozen ataupun lebih.

Petua untuk membantu anda:
  • Tukar kebiasaan anda.
  • Elakkan tekanan. Elakkan bekerja hingga lewat hari
  • Jauhkan diri dari perokok
  • Berikan kata-kata semangat kepada diri anda setiap hari
  • Buat janji dan memberi ganjaran kepada diri anda
  • Menyimpan duit rokok
  • Curi masa – lambat-lambatkan menyalakan rokok
  • Minum air secukupnya
  • Kurangkan minuman yang mengandungi kafein
  • Bersarapan pagi
Walaupun berhenti terus merupakan cara terbaik, namun jika anda terpaksa berhenti secara beransur-ansur, yang penting adalah untuk BERHENTI.

Anda mungkin tidak kisah dengan kesihatan atau nyawa anda, tetapi pertimbangkan kesihatan dan nyawa orang yang anda sayangi. Adakah mereka akan memaafkan anda jika mereka mendapat kesan buruk dari asap rokok yang dihembus keluar oleh anda. Renung renungkanlah. 

Berapa Banyak Air Yang Perlu Diminum?


Ada orang kata jangan minum air banyak-banyak. Minum seteguk dua saja, ini petua untuk awet muda. Ada pendapat yang mengatakan kita perlu meminum 8 gelas sehari. Yang mana betul?

Pendapat yang pertama, memang tidak betul. Yang kedua? Tidak berapa betul! "8 gelas sehari" lebih merupakan sebagai lagenda yang telah diterima sebagai fakta.

Baru-baru ini, Jurnal Psikologi Amerika mendedahkan bahawa tidak terdapat bukti saintifik yang dapat menyokong teori "8 gelas sehari". Jangan salah faham pula. Saintis tersebut bukan mengatakan kita tidak memerlukan air. Tetapi nasihat agar kita mengambil 8 gelas air sehari bukanlah satu nasihat yang baik.

Pertama, kita perlu meminum air berulangkali di sepanjang hari. Meminum 8 gelas di waktu pagi dan mempercayai bahawa anda sudah meminum air yang cukup untuk hari tersebut adalah berbahaya.

Mereka yang meminum air, walau setengah gelas, pada setiap jam akan mendapati diri mereka begitu bertenaga.

Berapa banyak yang perlu diminum? Ianya bergantung kepada cuaca dan aktiviti yang anda jalankan. Lebih banyak anda kehilangan air, lebih banyak yang perlu diminum, lebih banyak dari 8 gelas. Tetapi jangan pula meminum terlalu banyak. Kenapa pula? Meminum terlalu banyak air boleh menyebabkan keracunan air (sekiranya menahan membuang air kecil) ataupun situasi elektrolit tak seimbang.

Peringatan: Lebih banyak anda meminum air, lebih banyak anda perlu menggantikan elektrolit anda. Di mana anda boleh memperolehi bekalan
elektrolit? Dari air minuman sukan seperti 100 Plus, Excel dll.

Nanti dulu, sebelum anda ke pasaraya untuk membeli minuman tersebut, saya ada satu petua untuk anda. Masukkan secubit garam ke dalam setiap gelen air minuman anda. Nah! Anda sudah mendapat bekalan elektrolit yang cukup. Sudah tentu pengeluar air minuman sukan tidak akan memberitahu kita mengenainya.

Mertua Vs Menantu

Mertua Vs Menantu.

Alkisah ada seorang ibu dengan 3 menantu dari ketiga-tiga puterinya yang cantik-cantik, sang ibu mertua ingin tahu apakah ketiga-tiga menantunya itu sayang kepada mertuanya atau cuma putrinya saja.

Dia lalu memutuskan untuk menguji mereka secara bergantian. Suatu hari dia mengajak menantu pertama naik perahu bermotor ke tengah laut. Di sana dia sengaja menjatuhkan dirinya dari perahu dan terlempar ke dalam air laut. Sang menantu tanpa berfikir panjang langsung terjun menyelamatkan ibu mertuanya.

Besoknya ketika keluar rumah, sang menantu pertama melihat mobil Toyota Vios terparking di depan rumah, dan sehelai kertas bertulis“Dari ibu mertuamu”. "Yahooooo,aku dapat kereta Vios!!",jerit menantu pertama.

Giliran menantu kedua pula yang diajak ke tengah laut. Sekali lagi sang mertua pura-pura terjatuh dan terlempar keluar perahu. Menantu kedua ini melupakan pakaian dan dompetnya, langsung terjun demi menyelamatkan mertua tercinta.

Besoknya di depan rumah menantu kedua melihat terparkir Honda Accord, disertai sehelai kertas tercatat tulisan, “Dari ibu mertuamu”. "Fulamakkk,Honda Accord!!",dengan bangganya menantu kedua berkata.

Ketika giliran menantu ketiga diajak ke tengah laut, sang mertua kembali melakukan gerakan terjun bebas. Tapi, malangnya kali ini sang menantu hanya bercekak pinggang memandang ibu mertuanya yang lemas di dalam air.

Seraya dia berkata, “Maafkan saya mak mertuaku”, sambil berputar membawa perahunya ke darat. Besok harinya ketika menantu ini keluar rumah, di depan rumahnya terparkir BMW 5 Series terbaru beserta kertas bertuliskan, “Dari ayah mertuamu”. Tersengih-sengih menantu ketiga,"heheheheheh".

-edit by me

Kunci Kesihatan Sepanjang Hayat.


Apabila anda sakit, anda akan berjumpa doktor. Sudah tentu doktor akan memberi anda ubat. Anda makan ubat tersebut dengan harapan anda akan sihat semula.  Beginilah bagaimana perjalanan perkhidmatan kesihatan sekarang, satu kitaran diagnosa dan preskrepsi.

Anda telah mendengarnya sebelum ini tetapi saya akan mengulanginya. Pencegahan lebih baik dari pengubatan. Namun anda mungkin tidak memberi perhatian kepadanya. Walau bagaimana pun sekiranya anda melihat dengan lebih dekat saranan doktor, ia akan membawa kepada kesimpulan bahawa mereka sebenarnya ingin mengesan sesuatu penyakit dengan lebih awal. Cuba renungkan. Renungkan bahawa makna sebenar pencegahan adalah menahan sesuatu dari berlaku.

Langkah pertama ke arah kesihatan yang lebih baik untuk menyedari bahawa tubuh anda memerlukan penjagaan. Perkara kedua ialah mendapatkan maklumat. Adalah sukar untuk menjaga tubuh anda sekiranya anda tidak tahu apa-apa mengenainya. Bagaimana anda boleh melawan musuh sekiranya anda tidak memahami kenapa dan bagaimana ia bertindak?

Tahukah anda bahawa setiap dari kita dibekalkan dengan sistem pertahanan yang mampu melindungi diri kita dari sebarang penyakit? Sistem yang kompleks ini dianugerahkan kepada kita oleh yang Maha Pencipta dan dikenali sebagai sistem imun tubuh. Sistem imun tubuh bekerja pada setiap saat tanpa henti bagi
melindungi diri kita dari serangan berbagai mikro organisma yang boleh menyebabkan berbagai jenis penyakit. Serangan tersebut bukan hanya datang dari luar malah dari dalam tubuh kita sendiri. Setiap hari kita berdepan dengan serangan mikro organisma yang terdiri dari berjuta jenis bakteria, beratus ribu jenis kulat, 130 lebih parasit dan lebih dari dua ribu jenis virus. Selain dari itu terdapat lebih dari dua ratus jenis sel kanser dan setiap dari kita terdedah
kepada serangannya. Justeru dalam setiap saat kehidupan kita, yang memisahkan kita dengan kematian adalah sistem imun. Jangkitan berulang atau jangkitan kronik, walaupun hanya demam selsema merupakan tanda sistem imun sudah mulai lemah. Adakah anda juga tahu bahawa sistem imun kita menjadi semakin lemah apabila usia kita semakin meningkat? Faktor yang melemahkan sistem imun termasuklah tidak cukup rihat, stres, makanan berproses, pertanian moden (makanan hilang khasiat), bahan kimia dalam persekitaran (racun perosak, racun rumput rumpai).Memperkasakan sistem imun merupakan langkah penting untuk membina pertahanan bagi melawan penyakit dan mengurangkan kemungkinan mendapat demam, selsema, kencing manis atau kanser dll.

Sistem imun yang tidak berfungsi dengan baik, sama ada terlebih atau terkurang tindakbalas, boleh membawa kepada berbagai jenis penyakit. Sebagai contoh,
terlebih tindakbalas terhadap ancaman dari dalam boleh membawa kepada penyakit yang dikategorikan sebagai penyakit auto-imun seperti diabetes jenis 1,
artritis reumatoid, slerosis berganda dan lupus. Terkurang tindakbalas terhadap ancaman dari dalam boleh membawa kepada penyakit seperti kanser, HIV,
hepatitis dan kayap. Terlebih tindakbalas terhadap ancaman luar boleh membawa kepada penyakit di bawah kategori alahan seperti rinitis, lelah, ekzema dan sinusitis. Terkurang tindakbalas terhadap ancaman luar boleh membawa kepada infeksi.

Memperkasakan sistem imun merupakan pelaburan terbaik untuk kehidupan yang lebih panjang dan kesihatan sepanjang hayat. Ramai yang percaya bahawa makanan seimbang boleh membantu kita mengekalkan kesihatan. Apa yang sebenarnya anda faham mengenai makanan seimbang? Renungkan fakta berikut:
  • Di abad ini terdapat lebih 75,000 bahan kimia sintetik dalam persekitaran, yang tidak pernah wujud sebelum 1940.
  • Buah-buahan biasanya dipetik ketika belum masak, ini membuatkan nutrien yang tak ternilai belum sempat terhasil. Selepas dipetik, proses tersebut terhenti.
  • Sayur-sayuran dicemari racun makhluk perosak. Perlu dibersih berulang kali untuk membuang racun dan proses ini membuatkan nutrien hilang.
  • Antibiotik dan hormon pertumbuhan digunakan dalam penghasilan daging, ayam dan hasil tenusu.
  • Makanan diproses dengan menggunakan pewarna tiruan, perisa tiruan dan bahan pengawet.
  • Udara dan sumber air juga turut tercemar.
Adakah anda masih percaya yang anda boleh mendapatkan makanan seimbang?

Hidup Sihat, Jantung Sihat .


Berhenti Merokok

Para penyelidek telah membuktikan bahawa terdapat pertalian antara penyakit jantung dengan merokok. Dua pertiga dari mereka yang meninggal akibat penyakit jantung adalah perokok. Terdapat lebih 4,000 bahan kimia dan 40 jenis karsinogen di dalam asap rokok. Sekiranya anda menyayangi jantung anda, berhentilah merokok dengan serta merta. Sekiranya anda tidak menyayangi jantung anda, sayangi jantung mereka yang berada di sekeliling anda. Sekiranya anda tidak sanggup berbuat demikian, fikirkan bahawa adakah wajar untuk mereka menyayangi anda?

Harungi Hidup Dengan Tenang

Para doktor telah mengesahkan bahawa perasaan dan tindakan kita akan memberi kesan kepada jantung kita. Fenomena baru di Malaysia ialah kerja terlalu kuat. Ramai eksekutif dan staf yang bekerja hingga larut malam dan menjadi tertekan. Di Jepun, ramai juga eksekutif yang mati kerana kekurangan rehat. Pandangan kita terhadap sesuatu yang terjadi dalam kehidupan kita juga boleh menimbulkan tekanan. Untuk membantu anda membina pandangan baru, sila lawat blog saya di http://www.wanibrahim.com/blog.

Jantung Sihat Sepanjang Hayat

Tahun lepas dilaporkan bahawa terdapat 9,000 kematian di hospital kerajaan akibat penyakit kardiovaskular. Ia merupakan 22.5% dari jumlah kematian yang direkodkan. Ini memberi gambaran sebenar mengenai gaya hidup moden yang meliputi diet, senaman, waktu bekerja dan penggunaan produk tembakau. Kita memakan makanan segera yang mengandungi kadar lemak yang tinggi, natrium dan karbohidrat murni. Kita kurang bersenam kerana sibuk bekerja di dalam pejabat yang berhawa dingin. Ramai yang masih merokok walaupun harga rokok naik tiap-tiap tahun.

Sudah sampai masanya untuk kita semua mengambil berat tentang kesihatan kita. Kita tidak mempunyai cara lain melainkan mengubah gaya hidup kita. Menjalani gaya hidup saya memerlukan komitmen.

Ingat, penyakit jantung dan strok tidak menyerang mereka yang gemuk sahaja. Orang kurus juga diserang penyakit jantung dan strok. Orang gemuk yang bertenaga (fit) mempunyai risiko mengidap penyakit kardiovaskular yang lebih rendah berbanding dengan orang kurus yang lemah. Untuk menjadi bertenaga, anda perlu menjalani gaya hidup sihat.

Jika kita selalu bersenam, makan dalam kuantiti sederhana, makan makanan seimbang, tidak meminum alkohol, tidak merokok dan mempunyai rehat yang cukup, besar kemungkinan jantung kita akan kekal sihat untuk tempoh masa yang lama.

Apa perbezaan antara sakit jantung dengan strok?

Sakit jantung terjadi apabila terdapat pengurangan aliran darah ke otot jantung, yang biasanya disebabkan oleh plak dan darah beku. Strok pula terjadi apabila berlaku gangguan terhadap bekalan darah ke otak, yang mungkin disebabkan oleh darah beku atau pembuluh darah pecah. Strok boleh membawa kepada kematian serta merta atau kecacatan kekal.

Maklumat tambahan (Sumber: Familydoctor.org):

Para penyelidik menemui bahawa paras homosistin yang tinggi dalam darah akan menyebabkan arteri rosak dan darah lebih mudah menjadi beku. Bekalan nutrien yang cukup amat penting dalam pengawalan paras homosistin tersebut.