Kesihatan

Hidup Sihat, Jantung Sihat 

Berhenti Merokok

Para penyelidek telah membuktikan bahawa terdapat pertalian antara penyakit jantung dengan merokok. Dua pertiga dari mereka yang meninggal akibat penyakit jantung adalah perokok. Terdapat lebih 4,000 bahan kimia dan 40 jenis karsinogen di dalam asap rokok. Sekiranya anda menyayangi jantung anda, berhentilah merokok dengan serta merta. Sekiranya anda tidak menyayangi jantung anda, sayangi jantung mereka yang berada di sekeliling anda. Sekiranya anda tidak sanggup berbuat demikian, fikirkan bahawa adakah wajar untuk mereka menyayangi anda?

Harungi Hidup Dengan Tenang

Para doktor telah mengesahkan bahawa perasaan dan tindakan kita akan memberi kesan kepada jantung kita. Fenomena baru di Malaysia ialah kerja terlalu kuat. Ramai eksekutif dan staf yang bekerja hingga larut malam dan menjadi tertekan. Di Jepun, ramai juga eksekutif yang mati kerana kekurangan rehat. Pandangan kita terhadap sesuatu yang terjadi dalam kehidupan kita juga boleh menimbulkan tekanan. Untuk membantu anda membina pandangan baru, sila lawat blog saya di http://www.wanibrahim.com/blog.

Jantung Sihat Sepanjang Hayat

Tahun lepas dilaporkan bahawa terdapat 9,000 kematian di hospital kerajaan akibat penyakit kardiovaskular. Ia merupakan 22.5% dari jumlah kematian yang direkodkan. Ini memberi gambaran sebenar mengenai gaya hidup moden yang meliputi diet, senaman, waktu bekerja dan penggunaan produk tembakau. Kita memakan makanan segera yang mengandungi kadar lemak yang tinggi, natrium dan karbohidrat murni. Kita kurang bersenam kerana sibuk bekerja di dalam pejabat yang berhawa dingin. Ramai yang masih merokok walaupun harga rokok naik tiap-tiap tahun.

Sudah sampai masanya untuk kita semua mengambil berat tentang kesihatan kita. Kita tidak mempunyai cara lain melainkan mengubah gaya hidup kita. Menjalani gaya hidup saya memerlukan komitmen.

Ingat, penyakit jantung dan strok tidak menyerang mereka yang gemuk sahaja. Orang kurus juga diserang penyakit jantung dan strok. Orang gemuk yang bertenaga (fit) mempunyai risiko mengidap penyakit kardiovaskular yang lebih rendah berbanding dengan orang kurus yang lemah. Untuk menjadi bertenaga, anda perlu menjalani gaya hidup sihat.

Jika kita selalu bersenam, makan dalam kuantiti sederhana, makan makanan seimbang, tidak meminum alkohol, tidak merokok dan mempunyai rehat yang cukup, besar kemungkinan jantung kita akan kekal sihat untuk tempoh masa yang lama.

Apa perbezaan antara sakit jantung dengan strok?

Sakit jantung terjadi apabila terdapat pengurangan aliran darah ke otot jantung, yang biasanya disebabkan oleh plak dan darah beku. Strok pula terjadi apabila berlaku gangguan terhadap bekalan darah ke otak, yang mungkin disebabkan oleh darah beku atau pembuluh darah pecah. Strok boleh membawa kepada kematian serta merta atau kecacatan kekal.

Maklumat tambahan (Sumber: Familydoctor.org):

Para penyelidik menemui bahawa paras homosistin yang tinggi dalam darah akan menyebabkan arteri rosak dan darah lebih mudah menjadi beku. Bekalan nutrien yang cukup amat penting dalam pengawalan paras homosistin tersebut. 


Apabila anda sakit, anda akan berjumpa doktor. Sudah tentu doktor akan memberi anda ubat. Anda makan ubat tersebut dengan harapan anda akan sihat semula.  Beginilah bagaimana perjalanan perkhidmatan kesihatan sekarang, satu kitaran diagnosa dan preskrepsi.

Anda telah mendengarnya sebelum ini tetapi saya akan mengulanginya. Pencegahan lebih baik dari pengubatan. Namun anda mungkin tidak memberi perhatian kepadanya. Walau bagaimana pun sekiranya anda melihat dengan lebih dekat saranan doktor, ia akan membawa kepada kesimpulan bahawa mereka sebenarnya ingin mengesan sesuatu penyakit dengan lebih awal. Cuba renungkan. Renungkan bahawa makna sebenar pencegahan adalah menahan sesuatu dari berlaku.

Langkah pertama ke arah kesihatan yang lebih baik untuk menyedari bahawa tubuh anda memerlukan penjagaan. Perkara kedua ialah mendapatkan maklumat. Adalah sukar untuk menjaga tubuh anda sekiranya anda tidak tahu apa-apa mengenainya. Bagaimana anda boleh melawan musuh sekiranya anda tidak memahami kenapa dan bagaimana ia bertindak?

Tahukah anda bahawa setiap dari kita dibekalkan dengan sistem pertahanan yang mampu melindungi diri kita dari sebarang penyakit? Sistem yang kompleks ini dianugerahkan kepada kita oleh yang Maha Pencipta dan dikenali sebagai sistem imun tubuh. Sistem imun tubuh bekerja pada setiap saat tanpa henti bagi
melindungi diri kita dari serangan berbagai mikro organisma yang boleh menyebabkan berbagai jenis penyakit. Serangan tersebut bukan hanya datang dari luar malah dari dalam tubuh kita sendiri. Setiap hari kita berdepan dengan serangan mikro organisma yang terdiri dari berjuta jenis bakteria, beratus ribu jenis kulat, 130 lebih parasit dan lebih dari dua ribu jenis virus. Selain dari itu terdapat lebih dari dua ratus jenis sel kanser dan setiap dari kita terdedah
kepada serangannya. Justeru dalam setiap saat kehidupan kita, yang memisahkan kita dengan kematian adalah sistem imun. Jangkitan berulang atau jangkitan kronik, walaupun hanya demam selsema merupakan tanda sistem imun sudah mulai lemah. Adakah anda juga tahu bahawa sistem imun kita menjadi semakin lemah apabila usia kita semakin meningkat? Faktor yang melemahkan sistem imun termasuklah tidak cukup rihat, stres, makanan berproses, pertanian moden (makanan hilang khasiat), bahan kimia dalam persekitaran (racun perosak, racun rumput rumpai).Memperkasakan sistem imun merupakan langkah penting untuk membina pertahanan bagi melawan penyakit dan mengurangkan kemungkinan mendapat demam, selsema, kencing manis atau kanser dll.

Sistem imun yang tidak berfungsi dengan baik, sama ada terlebih atau terkurang tindakbalas, boleh membawa kepada berbagai jenis penyakit. Sebagai contoh,
terlebih tindakbalas terhadap ancaman dari dalam boleh membawa kepada penyakit yang dikategorikan sebagai penyakit auto-imun seperti diabetes jenis 1,
artritis reumatoid, slerosis berganda dan lupus. Terkurang tindakbalas terhadap ancaman dari dalam boleh membawa kepada penyakit seperti kanser, HIV,
hepatitis dan kayap. Terlebih tindakbalas terhadap ancaman luar boleh membawa kepada penyakit di bawah kategori alahan seperti rinitis, lelah, ekzema dan sinusitis. Terkurang tindakbalas terhadap ancaman luar boleh membawa kepada infeksi.

Memperkasakan sistem imun merupakan pelaburan terbaik untuk kehidupan yang lebih panjang dan kesihatan sepanjang hayat. Ramai yang percaya bahawa makanan seimbang boleh membantu kita mengekalkan kesihatan. Apa yang sebenarnya anda faham mengenai makanan seimbang? Renungkan fakta berikut:
  • Di abad ini terdapat lebih 75,000 bahan kimia sintetik dalam persekitaran, yang tidak pernah wujud sebelum 1940.
  • Buah-buahan biasanya dipetik ketika belum masak, ini membuatkan nutrien yang tak ternilai belum sempat terhasil. Selepas dipetik, proses tersebut terhenti.
  • Sayur-sayuran dicemari racun makhluk perosak. Perlu dibersih berulang kali untuk membuang racun dan proses ini membuatkan nutrien hilang.
  • Antibiotik dan hormon pertumbuhan digunakan dalam penghasilan daging, ayam dan hasil tenusu.
  • Makanan diproses dengan menggunakan pewarna tiruan, perisa tiruan dan bahan pengawet.
  • Udara dan sumber air juga turut tercemar.
Adakah anda masih percaya yang anda boleh mendapatkan makanan seimbang?


Ada orang kata jangan minum air banyak-banyak. Minum seteguk dua saja, ini petua untuk awet muda. Ada pendapat yang mengatakan kita perlu meminum 8 gelas sehari. Yang mana betul?

Pendapat yang pertama, memang tidak betul. Yang kedua? Tidak berapa betul! "8 gelas sehari" lebih merupakan sebagai lagenda yang telah diterima sebagai fakta.

Baru-baru ini, Jurnal Psikologi Amerika mendedahkan bahawa tidak terdapat bukti saintifik yang dapat menyokong teori "8 gelas sehari". Jangan salah faham pula. Saintis tersebut bukan mengatakan kita tidak memerlukan air. Tetapi nasihat agar kita mengambil 8 gelas air sehari bukanlah satu nasihat yang baik.

Pertama, kita perlu meminum air berulangkali di sepanjang hari. Meminum 8 gelas di waktu pagi dan mempercayai bahawa anda sudah meminum air yang cukup untuk hari tersebut adalah berbahaya.

Mereka yang meminum air, walau setengah gelas, pada setiap jam akan mendapati diri mereka begitu bertenaga.

Berapa banyak yang perlu diminum? Ianya bergantung kepada cuaca dan aktiviti yang anda jalankan. Lebih banyak anda kehilangan air, lebih banyak yang perlu diminum, lebih banyak dari 8 gelas. Tetapi jangan pula meminum terlalu banyak. Kenapa pula? Meminum terlalu banyak air boleh menyebabkan keracunan air (sekiranya menahan membuang air kecil) ataupun situasi elektrolit tak seimbang.

Peringatan: Lebih banyak anda meminum air, lebih banyak anda perlu menggantikan elektrolit anda. Di mana anda boleh memperolehi bekalan
elektrolit? Dari air minuman sukan seperti 100 Plus, Excel dll.

Nanti dulu, sebelum anda ke pasaraya untuk membeli minuman tersebut, saya ada satu petua untuk anda. Masukkan secubit garam ke dalam setiap gelen air minuman anda. Nah! Anda sudah mendapat bekalan elektrolit yang cukup. Sudah tentu pengeluar air minuman sukan tidak akan memberitahu kita mengenainya. 


Seperti 80% perokok yang lain, anda mungkin telah mencuba beberapa kali untuk berhenti merokok tetapi tidak berjaya. Apakah ianya terlalu lewat untuk anda berhenti? Jawapannya sudah tentu tidak.

Jika anda berhenti merokok pada umur 60 atau 80 sekalipun, masih banyak kesan buruk akibat merokok yang dapat dihentikan. Atau mungkin anda tergolong dalam 46% perokok dewasa yang tidak percaya merokok boleh membahayakan kesihatan atau pun tiada faedahnya jika anda berhenti sekarang, sudah terlewat. Jika anda tergolong dalam kumpulan ini, renungi fakta berikut:
  • Dalam masa lapan jam selepas berhenti merokok, kadar denyutan nadi dan tekanan darah turun dan paras oksigen dalam badan anda akan naik.
  • Dalam tempoh 24 jam selepas berhenti, risiko serangan jantung menurun.
  • Selepas sebulan, peredaran darah bertambah baik, tenaga anda bertam- bah dan fungsi paru-apru anda meningkat sebanyak 30%.
  • Selepas setahun, risiko anda mendapat penyakit jantung menurun sebanyak 50% jika dibanding dengan mereka yang terus merokok.
  • Selepas 5 tahun, risiko anda mendapat strok mula menurun.
  • Selepas 10 tahun, kemungkinan anda mendapat kanser paru-paru adalah sama dengan mereka yang tidak pernah merokok.
Setiap kali anda menyedut, anda menyerap masuk lebih dari 4,700 bahan kimia yang telah terbukti memberi kesan buruk pada setiap inci tubuh anda. Antara kesan tidak serius ialah kulit lebih cepat berkedut, gigi dan jari menjadi kuning dan lambat baik dari luka.

Antara kesan yang sangat merbahaya ialah osteoporosis, retak pinggul, katarak, kencing manis, kehilangan gigi dan emfisema.

Di Amerika, setiap tahun sejumlah 400,000 orang meninggal dunia atas sebab yang ada kena mengena dengan merokok. 50% dari kematian tersebut disebabkan penyakit kardiovaskular dan 30% lagi oleh kanser paru-paru. Merokok membahayakan jantung anda, jika anda berhenti merokok, risiko mendapat serangan jantung menurun sebanyak 50% dalam masa setahun. Merokok juga berada di tangga teratas dalam senarai penyebab kanser.

Merokok adalah ketagihan, mudah dan jelas. Jangan salahkan diri anda jika anda telah beberapa kali cuba untuk berhenti tetapi gagal. Kandungan utama tembakau ialah nikotin dan ia merupakan dadah yang paling kuat menyebabkan ketagihan.

Adakah tiada harapan lagi? Tidak. Ramai yang telah berjaya berhenti dan anda pun boleh, jika anda mahu.

Jika anda mahu berhenti, disenaraikan beberapa cara untuk membantu anda.

Tetapkan tarikh dan patuhinya. Para pakar melaporkan bahawa mereka yang menetapkan tarikh mempunyai kemungkinan yang tinggi untuk berjaya.

Elakkan dari mendapat tekanan. Banyak petua yang boleh diamalkan untuk mengurangkan tekanan.

Berhenti terus. Kalau anda ikut cara ini, anda mungkin akan mengalami sindrom tarikan untuk selama seminggu hingga 10 hari tetapi anda akan melepasi halangan.

Buang kesemuanya. Pada hari yang ditetapkan, buang semua rokok, termasuk yang tersembunyi di mana-mana. Buang pemetik api, mancis dan tempat habuk rokok.

Bersedia untuk melawan keinginan untuk merokok. Semasa anda melalui sindrom tarikan, anda mungkin mengalami gejala berikut: masalah perut, sukar memberi tumpuan, mengantuk, susah untuk tidur dan mudah marah.

Anda boleh berhenti secara beransur-ansur. Sebaik saja nikotin telah dinyah keluar dari tubuh anda, gejala sindrom tarikan akan hilang sedikit demi sedikit. Ada kemungkinan ianya tidak hilang kesemuanya kerana satu tidak pernah cukup. Jika anda merokok sebatang anda ingin sedozen ataupun lebih.

Petua untuk membantu anda:
  • Tukar kebiasaan anda.
  • Elakkan tekanan. Elakkan bekerja hingga lewat hari
  • Jauhkan diri dari perokok
  • Berikan kata-kata semangat kepada diri anda setiap hari
  • Buat janji dan memberi ganjaran kepada diri anda
  • Menyimpan duit rokok
  • Curi masa – lambat-lambatkan menyalakan rokok
  • Minum air secukupnya
  • Kurangkan minuman yang mengandungi kafein
  • Bersarapan pagi
Walaupun berhenti terus merupakan cara terbaik, namun jika anda terpaksa berhenti secara beransur-ansur, yang penting adalah untuk BERHENTI.

Anda mungkin tidak kisah dengan kesihatan atau nyawa anda, tetapi pertimbangkan kesihatan dan nyawa orang yang anda sayangi. Adakah mereka akan memaafkan anda jika mereka mendapat kesan buruk dari asap rokok yang dihembus keluar oleh anda. Renung renungkanlah. 


Antioksidan seperti Vitamin E atau beta karotena, secara sendirian tidak dapat menghindarkan penyakit jantung, melawan kanser, membasmi penyakit mata atau menghalang penyakit Alzheimer seperti didakwa sesetengah pihak.

Anggapan yang mengatakan antioksidan baik untuk kesihatan berpunca dari kajian yang mendapati mereka yang mengambil makanan yang kaya dengan antioksidan mempunyai kesihatan jangka panjang yang lebih baik. Namun begitu ujian yang menggunakan pemakanan tambahan tunggal memberikan hasil yang sangat mengecewakan.

Antioksidan menstabilkan radikal bebas, hasil sampingan proses penjanaan tenaga oleh badan kita, yang membahayakan. Radikal bebas boleh merosakan sel tubuh, membuat kolesterol LDL menjadi lebih teruk dan membuat kacau di merata tempat dalam tubuh kita. Tubuh kita tidak mengeluarkan antioksidan, ia memerlukan pelbagai jenis antioksidan yang terkandung dalam makanan untuk membantunya meneutralkan radikal bebas.

Para penyelidek antarabangsa telah membuat kajian ke atas lebih dari 1,000 makanan untuk menentukan tahap kandungan antioksidan di dalamnya. Mendahului senarai ialah acaiberi, blueberi, blackberi, walnut, strawberi, cranberi, raspberi, elderberi, bunga cengkih kisar, delima dan anggur merah.

Kesemua makanan tadi mengandungi antioksidan dari jenis yang berbeza.
Memilih hanya satu makanan yang kaya dengan antioksidan tidak dapat
membantu anda untuk kekal sihat. Anda perlu memakan beberapa jenis untuk mendapatkan pelbagai jenis antioksidan.

Sumber: Harvard Heart Letter/Premium Health News Service/TMSI 


Kalau kita ke supermarket atau farmasi, kita akan lihat banyak vitamin dan makanan kesihatan atau pemakanan tambahan yang dipamerkan. Maklumat-maklumat pemakanan yang tercatat di kotak produk tersebut sudah cukup untuk membuat kita pening kepala. Apakah vitamin atau mineral yang tercatat pada kotak-kotak tersebut dapat memberi manfaat kepada kita?

Beberapa kajian menunjukkan vitamin dan mineral tertentu dapat membantu mengurangkan risiko penyakit jantung sebanyak 30 hingga 40 peratus malah dapat memperlahankan perkembangan penyakit tersebut. Vitamin juga membantu memperkuatkan sistem imun dan mereka yang mengambil vitamin dan mineral dipercayai mempunyai sistem imun yang lebih kuat. Sekiranya sistem imun kita lemah, kita akan terdedah kepada serangan berbagai-bagai penyakit dari dalam dan luar badan kita.

Jadi, pengambilan makanan kesihatan memberi manfaat kepada kita.
Janganlah pula anda tidak menjaga makanan anda dan mengharapkan
pemakanan tambahan melakukan keajaiban. Makanan kesihatan dapat
membantu mencegah penyakit walaupun anda mungkin memerlukan 6 bulan
untuk melihat keberkesanannya. Janganlah itu pula dijadikan alasan untuk tidak mengambilnya. Semakin awal anda bermula, semakin awal keberkesanannya.

Satu lagi cabaran ialah membantu sistem tubuh yang mula menurun. Apabila usia makin meningkat, kecekapan sistem tubuh kita tidak lagi seperti dulu. Sebagai contoh, perut kita tidak mempunyai cukup asid untuk membantu menyerap nutrien dari makanan. Ini bermakna sebanyak 40% dari nutrien dalam makanan tidak dapat diserap membuat kita kekurangan vitamin D, B6, B12, riboflavin, folat dan kalsium. Kebolehan sistem tubuh menyimpan nutrien juga menurun disebabkan oleh peratus lemak tubuh yang meningkat bersama umur.

Walaupun metabolisma membuatkan kita hidup dan sihat, ia juga menghasilkan sisa yang boleh membahayakan tubuh kita. Radikal bebas dan bahan lain yang terhasil dari proses metobolisma boleh merosakkan sel DNA dan membawa kepada banyak kesan umur tua. Kita memerlukan antioksida untuk melindungi diri dari serangan radikal bebas. Namun begitu, semakin meningkat usia, semakin susah untuk kita memperolehinya dari makanan harian. Jesteru kita perlu mengambil vitamin dan mineral tentu untuk memperolehi kesihatan
optimum.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pastikan jumlah vitamin dan mineral yang diambil tidak melebihi had yang ditetapkan. Anda dinasihatkan untuk bertanya kepada doktor mengenai makanan kesihatan yang ingin diambil. Ini disebabkan terdapat beberapa makanan kesihatan yang tidak sesuai diambil bersama ubat-ubatan.

Disenaraikan beberapa tips untuk anda:
  • Elakkan multi-vitamin dengan formula "time release". Ketika sampai masa untuk hancur, ia mungkin terlalu jauh di dalam perut di mana penyerapan adalah lemah.
  • Simpan vitamin jauh dari tempat panas dan lembab
  • Ambil vitamin bersama makanan kerana beberapa nutrien memerlukan emak untuk berfungi. Jesteru mengambilnya bersama makanan rendah lemak adalah terbaik.
  • Semak tarikh "baik sebelum". Anda mungkin berjimat dengan membeli dalam kuantiti yang banyak, tetapi sebenarnya akan merugikan jika tidak dihabiskan sebelum tamat tempoh.
  • Jika anda merokok, walaupun tak kuat, ambil lebih vitamin dan mineral terutamanya vitamin C.

Inuits, satu kaum Eskimo di Greenland, mempunyai 42 perkataan untuk salji tetapi tidak mempunyai satu patah perkataan pun untuk penyakit jantung. Mengikut Dr. Caroline Shreeve, kaum Inuit jarang mendapat mana-mana jenis penyakit jantung. Sebabnya, makanan utama mereka adalah lemak dan daging singa laut dam ikan air sejuk.

Minyak ikan laut dalam mengandung asid lemak Omega-3 yang terdiri dari EPA dan DHA, ia-itu asid lemak yang sangat diperlukan tubuh kita. Ianya boleh didapati dengan banyaknya di dalam ikan air sejuk berlemak tinggi seperti mackerel, kod, salmon, kerapu, jerung, sardin dan ikan todak. Apa manfaat kesihatan yang boleh kita perolehi dari minyak ikan? Baca seterusnya:

Tanpa asid lemak dalam makanan harian kita, kita mengambil satu langkah ke arah kematian. Asid lemak yang sangat diperlukan tubuh kita terbahagi kepada dua: Omega-6 EFAs and Omega-3 EFAS. Omega-6 boleh diperolehi dari minyak sayuran dan Omega-3 dari minyak ikan dan beberapa minyak lain.

Para saintis dan doktor berpendapat bahawa peningkatan kes sakit jantung, hipertensi, darah tinggi, obesiti, kencing manis, penuaan dan kanser jenis tertentu adalah disebabkan pengambilan Omega-3 dan Omega-6 yang tidak seimbang.

EPA dan DHA, juga dapat membantu dalam pencegahan aterosklerosis, serangan jantung, kemurungan dan beberapa jenis kanser. Permakanan tambahan minyak ikan juga telah terbukti berguna untuk merawat artritis reumatoid, kencing manis, penyakit Raynaud dan kolitis ulseratif.

Banyak lagi penyakit dan keadaan yang dapat diatasi dengan pengambilan minyak ikan.  Apa pun jika diambil secara berlebihan mungkin akan membawa kemudharatan tetapi sekiranya tidak diambil langsung, seperti asid lemak, juga boleh membawa kemudharatan. Bertanyalah kepada pakar permakanan, berapa banyak ikan yang perlu anda makan sesuai dengan umur dan keadaan kesihatan anda.

Bagi mereka yang tidak suka memakan ikan, dapatkan permakanan tambahan minyak ikan yang mengandungi asid lemak Omega-3 dari farmasi, kedai makanan kesihatan atau pengusaha jualan langsung (yang berdaftar). 


Seperti yang anda sudah ketahui, kekurangan nutrien boleh menjejaskan kesihatan dan kecergasan badan. Walaupun amalan pemakanan sihat sangat penting, terdapat mitos yang boleh menjejaskan kesihatan anda jika anda mempercayainya.

Berikut adalah mitos mengenai pemakanan sihat:

1. Bersenam dengan perut kosong.

Jika perut anda berkeroncong, ia cuba memberitahu anda sesuatu. Jika anda tidak menghiraukannya, anda memaksa badan anda bekerja tanpa bahan bakar. Sebelum bersenam atau melakukan apa-apa aktiviti fizikal, pastikan anda mengambil makanan ringan terlebih dahulu seperti sebiji epal.

2. Bergantung kepada biskut dan minuman tenaga.

Walaupun elok mengambilnya sekali sekala, ia tidak membekalkan antioksidan yang anda perlukan untuk menghalang penyakit. Lebih baik anda bergantung kepada buah-buahan dan sayur-sayuran memandangkan ia penuh dengan vitamin, mineral, cecair dan serat.

3. Tidak mengambil sarapan pagi.

Tidak mengambil sarapan bukan idea yang bagus memandangkan sarapan
pagi memulakan hari anda. Badan anda memerlukan bahan bakar secepat
mungkin, dan tanpanya, anda akan berlapar hingga ke tengahari.

4. Diet rendah karbohidrat.

Badan anda memerlukan karbohidrat untuk otot dan juga penyimpanan tenaga.

5. Makan apa saja yang anda mahu.

Pemakanan sihat dan bersenam tidak memberi anda lesen untuk memakan
apa saja yang anda mahu. Kita semua memerlukan nutrien yang sama, sama ada kita bersenam atau tidak.

6. Kalori tidak mencukupi

Walaupun menurunkan berat badan melibatkan kalori, kehilangan secara mendadak adalah merbahaya. Apa yang perlu dilakukan adalah mensasarkan untuk menurunkan 1 – 2 paun seminggu. Pastikan anda mendapat kalori yang cukup untuk membolehkan badan anda berfungsi dengan sempurna.

7. Kurang minum.

Air, susu dan jus adalah minuman terbaik untuk mereka yang aktif. Anda perlu kerap minum dan tidak menunggu dahaga. Apabila anda merasa dahaga, badan anda sudah merasa kesan kekurangan air.

Menukar cara anda makan adalah langkah penting ke arah pemakanan sihat dan ia akan memberi kesan ke atas kesihatan anda. Semakin sihat pemakanan anda, semakin sihat badan anda. Tidak kira berapa umur anda, pemakanan sihat merupakan sesuatu yang perlu anda utamakan. Jika anda memberi peluang kepada pemakanan sihat, anda segera akan melihat bagaimana ia mengubah kehidupan anda – kepada yang lebih baik. 


Makanan adalah bahan asas untuk kehidupan dan kesihatan, namun begitu makanan juga punca kita mendapat penyakit. Kalau kita mempunyai tabiat makan yang buruk, kita sengaja mengundang penyakit.

Di zaman moden ini kita menghadapi cabaran kesihatan yang agak berat, susah untuk kita menjauhkan diri dari memakan makanan segera yang boleh membahayakan kesihatan kita. Makanan tersebut mengandungi bahan pengawet yang boleh menyebabkan penyakit seperti kanser. Kita juga selalu
makan di restoran makanan segera. Minyak yang digunakan untuk mengoreng diguna berulang-ulang kali, amalan ini sangat tidak baik untuk kesihatan.

Kita juga memakan daging dan ayam yang disuntik dengan hormon dan antibiotik. Hormon dan antibiotik ini akan berpindah ke badan kita. Bagaimana dengan sayur-sayuran dan buah-buahan? Buah-buahan dipetik sebelum masak dan dirawat menggunakan gas dan radiasi. Sayuran-sayuran disembur dengan racun serangga. Bahan-bahan kimia ini tidak akan hilang walau pun kita membasuh buah-buahan dan sayur-sayuran yang kita makan. Ini semua membahayakan kesihatan. Tidak hairanlah kalau di zaman ini ramai orang yang mengidap kanser dan lain-lain penyakit kronik.

Bagimana pula dengan air yang kita minum? Adakah ia benar-benar bersih? Kalau anda mengambil air dari paip air di dapur anda dan mengujinya, anda mungkin tidak sanggup meminumnya.

Untuk menjaga kesihatan, kita seharusnya menjauhkan diri dari perkara yang dinyatakan di atas. Kurangkan memakan makanan segera, makan daging atau ayam kampung, makan sayur-sayuran hidrofonik dan buah-buah tempatan seperti manggis, rambutan dsb (yang bebas dari gas & radiasi).

Menurut pakar pemakanan bertauliah, untuk perlindungan dari penyakit, kita perlu mengambil makanan kesihatan atau suplemen seperti  vitamin, mineral, serat dan asid amino. Vitamin A, C dan E kaya dengan antioksidan yang mampu menghapuskan "radikal bebas", ia-itu molekul tidak stabil yang terhasil dari proses dalam badan kita. Dalam tubuh kita terdapat beribu billion molekul yang membentuk sel, sel membentuk tisu, tisu membentuk organ. "Radikal bebas" merosakkan molekul, dan seterusnya sel akan rosak (termasuk sel sitem imun), selepas itu tisu dan lama kelamaan akan merosakkan organ kita.

Cegahlah penyakit sebelum terlambat.


Tahukah anda bagaimana hendak menentukan berat badan yang sesuai untuk diri anda? Ini dia satu cara mudah untuk menentukan berat badan yang sesuai:

Untuk Perempuan: Berat badan yang sesuai untuk perempuan dengan ketinggian 5 kaki adalah 100 paun. Untuk setiap satu inci tambahan, tambah 5 paun. Jika anda lebih rendah dari 5 kaki, tolak 5 paun bagi setiap inci di bawah 5 kaki.

Kemudian anda perlu tentukan samada anda mempunyai kerangka badan yang kecil, sederhana atau besar. Caranya, ukur lilit pergelangan tangan anda. Jika ia berukuran 6 inci, anda mempunyai kerangka sederhana. Jesteru berat badan yang dikira tadi tidak perlu diubah. Jika pergelangan tangan anda berukuran kurang dari 6 inci, tolak 10% dari berat yang dikira tadi. Jika melebihi 6 inci, tambah 10% kepada berat badan yang dikira.

Untuk Lelaki: Berat badan yang sesuai untuk lelaki dengan ketinggian 5 kaki adalah 106 paun. Untuk setiap satu inci tambahan, tambah 6 paun. Untuk menentukan samada anda mempunyai kerangka badan yang kecil, sederhana atau besar, ukur lilit pergelangan tangan anda. Jika ia berukuran 7 inci, anda mempunyai kerangka sederhana dan tidak perlu meminda berat badan sesuai seperti yang telah dikira. Jika pergelangan tangan anda berukuran kurang dari 7 inci, tolak 10% dari berat yang dikira tadi. Jika melebihi 7 inci, tambah 10% kepada berat badan yang dikira.

OK, sekarang anda telah mengetahui berat badan yang sesuai untuk anda. Satu dari rahsia untuk mendapat kesihatan yang unggul ialah mempunyai berat badan yang sesuai. Jika berat badan anda lebih tinggi dari berat sesuai, lakukanlah senaman untuk membakar lemak yang tidak diperlukan.